IPOH: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan memukul isteri dengan kayu, Ahad lalu.

Tertuduh, P. Subramaniam, 65, membuat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, pesara itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berumur 54 tahun, dengan menggunakan sebatang kayu.

Bapa kepada tiga orang anak yang berumur antara 19 hingga 26 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Pertama, Ipoh, kira-jam jam 1.14 pagi, 20 Ogos lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang minimum kerana warga emas itu tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah.